Isnin, 14 Mei 2012

SAMBUTAN HARI KELUARGA KEBANGSAAN 2012

Kawasan Taman Rekreasi Sungai Mau telah dijadikan tapak bagi mengadakan upacara Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2012 Daerah Belait Zon 4 (Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Mukim Sukang dan Mukim Melilas) pada hari Ahad 13 Mei 2012.  Ianya adalah atas anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam.

Acara senamrobik beramai-ramai

Tetamu Kehormat melancarkan majlis
Menjadi tetamu kehormat pada hari tersebut adalah Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Acara menyumpit





"Bouncer" yang menarik perhatian ramai kanak-kanak


Berbagai acara telah diaturkan pada hari tersebut.  Antara lainnya adalah senamrobik, persembahan tarian, seni bela diri, berbagai jenis gendang-gendang asli, persembahan pentas, acara-acara sukan, peraduan menyumpit, cabutan nombor bertuah serta permainan "bouncer" khusus bagi kanak-kanak.

Lesung dan pengisar kayu jenis langsat menarik perhatian para pengunjung



Turut diadakan adalah penjualan produk-produk kampung seperti ikan air tawar, berbagai jenis umbut, hasil pertukangan tangan, sayur-sayuran dan beras baru tempatan, barang-barang minuman dan makanan.


Berbagai hasil kraftangan seperti tongkat dan alat sumpitan
 yang turut dijual


Penyertaan orang ramai amat menggalakan sesuai dengan tema sambutan yang berbunyi "KELUARGAKU HARAPANKU".

Difahamkan sambutan hari keluarga kebangsaan akan diadakan setiap tahun iaitu pada hari Ahad pertama di bulan Mei mungkin dengan tema yang tersendiri di masa-masa akan datang.

Antara keluarga yang turut hadir bersama

Penjualan air minuman dan kuih-muih

Penjualan ikan air tawar
Umbut luba turut dijual

Anyam-anyaman
"Candas" kayu yang menarik perhatian pengunjung pesta

Ahad, 6 Mei 2012

TEMPAT-TEMPAT MENARIK


Ada beberapa tempat menarik di kawasan Mukim Bukit Sawat ini. Antaranya adalah seperti:

1. Luagan Kandol:
Luagan ini paling terkenal dikalangan mereka yang gemar menangkat ikan air tawar khususnya ikan badus iaitu sejenis ikan yang mirip rupanya dengan ikan dalak atau dalog sewaktu air surut . Ianya terletak di bahagian ulu Sungai Kandul dan mudah dikunjungi melalui anak sungai yang disebut sebagai Sungai Galungan ataupun perlu berjalan kaki kira-kira kurang dari 30 minit lamanya  merentas hutan melalui tebing kiri sungai apabila mudik ke ulu di Kg Pengkalan Siong.

2. Luagan Pagino Papas:
Luagan ini juga amat menarik bagi mereka yang gemar menangkap ikan air tawar selain untuk meninjau keindahan kawasan yang unik dengan flora dan faunanya. Ianya terletak bersebelahan dengan kawasan Luagan Kandul dan dapat dikunjungi secara berjalan kaki melalui tebing sebuah anak sungai yang dikenali sebagai Sungai Sindum. Seseorang juga boleh menggunakan perahu sekiranya air sungai cukup dalam.

3. Luagan Lalak:
Luagan Lalak (lalok dalam bahasa Sang Jati adalah nama sejenis tumbuhan hutan) terletak berhampiran dengan Kg Bukit Puan dan mudah dikunjungi melalui jalanraya menuju ke Kg Labi. Tempat ini terkenal sebagai tempat memancing ikan dalak.

4. Taman Rekreasi Sungai Mau:
Taman Rekreasi ini terletak di Kg Sungai Mau iaitu di sebelah kiri jalanraya menuju ke Mukim Labi. Taman ini dihiasi dengan pokok bunga-bungaan serta tempat bermain bagi kanak-kanak. Taman ini juga dijadikan tempat untuk para penduduk di sini mengendalikan Tamu Mingguan mereka setiap pagi hari Ahad.

Biasanya barang-barang seperti ikan air tawar, berbagai jenis umbut tempatan umpama luba dan rotan dabur, beras kampung, sayur-sayuran serta kuih-muih turut terjual semasa tamu berkenaan diadakan. Abiskita perlulah datang awal sikit, kalau akhir kempunan tak dapat pula nanti.


© HAKCIPTA TERPELIHARA

Jumaat, 27 April 2012

LAGENDA WARISAN MUKIM BUKIT SAWAT


Terdapat berbagai lagenda yang berunsur tempatan terdapat di Mukim Bukit Sawat ini. Di antara yang banyak diketahui oleh sebilangan besar penduduk asli di sini adalah seperti:

a) Lagenda Pulau Apil:
    Kisah seorang ibu dan anak kecilnya yang bertukar menjadi batu.

b) Lagenda Pok Rigan
    Kisah pembunuhan seekor ular raksasa.

c) Lagenda Pagino Papas
    Kisah dua orang adik beradik yang tersesat di hutan.

d) Lagenda Si Mugang Sidu
    Kisah perjuangan seorang wira tempatan menentang musuh yang datang dari luar.

e) Lagenda Bukit Serawong
    Kisah sewaktu zaman bilamana banjir besar pernah terjadi.

f) Lagenda Merugi Bungkok
   Kisah pertarungan antara seekor ular sawa dan seekor buaya besar.

g) Lagenda Bukid Tadung Kayan
    Kisah pertempuran antara puak Dusun dengan puak Kayan 


Selain itu terdapat juga cerita-cerita lisan penglipur lara atau sastera rakyat yang sering didengar dituturkan oleh orang-orang tua suatu ketika dulu bilamana sebelumnya ada terdapat  peralatan radio dan tv di rumah-rumah di mukim ini. Yang banyak diceritakan adalah seperti:

a) Kisah Edan ya Edandow
b) Kisah-Kisah Yalui ya Yadong
c) Kisah Anak Sada Tayan Ragang
d) Kisah Tuan Puti Buncu
e) Kisah Anak Raja Setampap
f) Kisah Kalias Jadi Diok
g) Kisah Mulo Asal Parai
h) Kisah Asal Mulo Tampuyong
i) Kisah Anak Lamatai Ya Jalama
j) Kisah Puok ya Yungkok
k) Kisah Awang Kabuncuan


Sebuah buku yang memuatkan beberapa cerita rakyat yang berasal dari Mukim Bukit Sawat yang bertajuk  "Koleksi Cerita Rakyat Sang Jati - Siri 1" tulisan Mohamad Hatta Haji Suhaili & Nur Anita Awanis Setia telah diterbitkan pada tahun 2005.



Buku tersebut ditulis di dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Sang Jati Dusun dan mengandungi 10 buah cerita rakyat.

Rabu, 18 April 2012

ASAL USUL NAMA MUKIM BUKIT SAWAT

Telah banyak andaian atau teori yang dikemukakan tentang asal usul nama "Bukit Sawat"  Dalam beberapa tulisan yang diterbitkan di internet (Wikipedia, the free encyclopaedia) disebutkan "bukit" itu bermakna "hill" atau "bukit" (betul)  dan "sawat" itu  "the name of a  fruit-plant atau nama sejenis pokok buah"(tidak tepat - mungkin penulis berkenaan terkeliru dengan perkataan "pokok durian salat" yang juga dikenali sebagai "durian belanda" itu.   Sementara pernah juga diutarakan oleh beberapa "penutur' berpengalaman dari mukim ini sendiri dan pernah diterbitkan di RTB beberapa tahun yang lalu bahawa asal usul nama "Bukit Sawat' ini ada kaitannya dengan "ular piak bulan" yang mati disumpit oleh "si Ingkis". Penulis kira yang dituturkan itu adalah cerita lagenda yang berkaitan dengan kawasan lagun yang dikenali sebagai  Lagon Pok Rigan  yang letaknya di sebelah bawah bukit tempat perkuburan orang-orang bukan Islam bersebelahan dengan kawasan Sekolah Rendah OKP Berandai.  Lagenda tersebut ada menyebut bahawa "ular piak bulan" raksasa yang disumpit oleh Si Ingkis setelah selepas 40 hari jatuh mati terhempap ke bumi dan terjadilah lagun kecil tersebut. 

Perkataan "bukit sawat" memang berasal dari perkataan "bukid sawat" dalam Bahasa Dusun yang bermaksud sebagai  "bukit tinggi" di dalam Bahasa Melayu. Ada terdapat kawasan tebing sungai yang  tinggi di tapak kawasan sekolah dan rumah guru Sekolah Melayu Bukit Sawat yang lama. Ketika melintas semasa berperahu atau bermotobot melalui  Sungai Belait setiap orang pasti kagum tentang ketinggian tebing sungai berkenaan. Hati mereka pasti berkata "Wah sawat o tambing bukid ino' yang bermaksud "Wah tingginya tebing bukit itu".

Memang betul itulah saja kawasan tebing sungai yang kelihatan sangat tinggi di sekitar kiri kanan Sungai Belait. Orang sejak beratus tahun dulu sudah tahu tentang hal tersebut dan merujuknya sebagai kawasan yang berbukit tinggi. Sudah lumrah apa yang dikenali sebagai "bukid sawat" menjadi   "BUKIT SAWAT" walaupun memang ada sebuah bukit yang bernama Bukit Usong yang mempunyai ketinggian hampir 200 kaki terdapat di Mukim ini tapi letaknya jauh di kawasan darat berhampiran dengan Kg Bukit Kandol.

 
© HAKCIPTA TERPELIHARA


Sabtu, 14 April 2012

LATAR BELAKANG


Mukim Bukit Sawat merupakan salah sebuah dari 8 buah mukim yang terdapat di Daerah Belait dan terletak di kawasan pedalaman iaitu di bahagian selatan Mukim Sungai Liang.  Mukim ini terdiri daripada beberapa buah kampung iaitu:

  1. Kampong Bang Tajuk
  2. Kampong Pengkalan Siong - Bang Butan
  3. Kampong Kandol
  4. Kampong Merugi Bungkok - Ubok Ubok
  5. Kampong Bukit Sawat - Pulau Apil
  6. Kampong Sungai Ubar
  7. Kampong Melayan-Tarap
  8. Kampong Sungai Mau
  9. Kampong Bukit Puan
10. Kampong Kagu Baru
11. Kampong Merangking Ulu - Nong Arut
12. Kampong Merangking Hilir - Pulau Gombak 
13. Kampong Singap
14. Kampong Pak Babau - Bukit Serawong
15. Kampong Laid Lakang

Secara dasarnya Mukim Bukit Sawat dibahagikan kepada dua kelompok. Kelompok pertama yang disebut sebagai Kampong Bukit Sawat terdiri daripada kampung-kampung pertama hingga 10 di atas sementara kelompok kedua yang dikenali sebagai Kampong Merangking terdiri daripada kampung-kampung bilangan 11 hingga 15 di atas tadi. Masing-masing ditadbirkan oleh seorang ketua kampung.  Mukim Bukit Sawat sendirinya di tadbirkan oleh seorang Penghulu Mukim.

 Di sini terdapat Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampong masing-masing di mana keahliannya dilantik pada peringkat awalnya dahulu  bagi tempoh 2 tahun tapi sekarang diubah menjadi 5 tahun sekali.



Mukim Bukit Sawat mudah dikunjungi melalui jalan darat iaitu dengan cara masuk dari simpang Jalan Sungai Liang - Labi ataupun melalui air menerusi Sungai Belait.



KEMUDAHAN


Bangunan Sekolah Rendah Merangking
Ada berbagai kemudahan yang terdapat di kawasan mukim ini seperti dua buah bangunan sekolah rendah di Kg Bukit Sawat dan Kg Merangking Ulu, sebuah klinik kesihatan di Kg Sg Mau, dua buah dewan serbaguna di Kg Sg Mau dan Kg Merangking Ulu, dua buah masjid di Kg Bukit Sawat dan  Sungai Mau serta sebuah balai ibadat yang terletak di Kg Merangking Ulu. Di sini juga ada ditempatkan sebuah stesen pertanian luarbandar serta taman rekreasi.

Kedai runcit Syarikat Zulhairi di  Jalan Sg Mau-Bukit Sawat

Salah sebuah Kilang Papan yang terdapat di Mukim Bukit Sawat

Kedai-kedai runcit juga ada didirikan di beberapa kawasan mukim seperti yang terdapat di  Kg Bukit Puan, Kg Sungai Mau, Kg Merangking Hilir dan Kg Bukit Sawat. Beberapa buah kilang papan juga ada didirikan di sini.

PENDUDUK MUKIM:

Ramai penduduk asal mukim di tahun-tahun 1980an  dianggarkan kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada bangsa Melayu dari puak Sang Jati Dusun, Bisaya, Tutong dan Belait dan bangsa Iban dan berketurunan Cina. Terdapat juga beberapa orang dari puak Punan yang turut bermastautin di kawasan ini.

Kebanyakan penduduk mukim bekerja dengan pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan syarikat Minyak Shell Brunei  serta syarikat-syarikat swasta yang lain manakala ada juga penduduk di mukim ini yang kerjanya bertanam padi dan buah-buahan serta menangkap ikan di sungai.



Bahasa biasa yang digunakan di kawasan mukim adalah Bahasa Melayu, Dusun dan Iban. Kebanyakan penduduk menganuti agama Islam sementara yang lainnya mengamal kehidupan secara "free thinkers".

Upacara rumah terbuka juga biasa dikendalikan oleh para penduduk mukim  sama seperti  di tempat-tempat lain. Antara yang disambut ialah Hari Raya Aidilfitri, Adaw Gayoh Sang Jati, Tahun Baru Cina serta Gawai Dayak.

INSTITUSI BERPENGHULU DAN BERKETUA KAMPONG

Melalui kefahaman penulis, perlantikan jawatan penghulu bagi kawasan Mukim Bukit Sawat mula diujudkan dalam tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua bilamana orang yang pertama dipilih ialah Orang Kaya Pemancha Berandai bin Orang Kaya Pemancha Gabok bin Pengarah Imung. Sebelumnya ada terdapat institusi orang-orang bergelar seperti gelaran Orang Kaya Muda, Orang Kaya Perkasa, Orang Kaya Johan Pahlawan, Orang Kaya Setia Diraja dan lainnya dan fungsi peranan  penerima gelaran dikatakan sebagai pemungut hasil bagi pihak pemerintah yakni raja Brunei ketika itu.

Penghulu kedua yang dilantik setelah OKP Berandai bersara adalah Orang Kaya Indera Perkasa Sahari bin Karim dari Kg Sg Ubar kira-kira dalam tahun 1954(?).   Sebelum itu turut terlantik sebagai Pemangku Penghulu buat selama enam bulan ialah Akut bin Kenyah bin OKP Gabok dari Kg Pak Babau.

Selepas persaraan OKIP Sahari maka diadakan pencalunan jawatan penghulu dan pada 1 Mac 1992  Awang Bua bin Sambang yang dikenali dengan nama Islamnya Awang Abdul Rahman bin Abdullah Sambang telah dilantik sebagai orang ketiga yang menjadi penghulu mukim.

Sementara institusi jawatan ketua kampung pada awalnya memang ada terpilih di sekitar mukim sepertinya ketua-ketua kawasan kampung Merangking Hilir, Merangking Ulu dan Singap, Tarap dan Melayan, Laid Lakang, Pengkalan Siong dan Bang Butan. Ketika era OK Pemancha Berandai menjadi penghulu mereka yang pernah menjadi pemimpin adalah Janah bin OK Perkasa Yanggag bagi kawasan Kg Merangking Hilir, Teradi bin OK Bugal bagi Kg Merangking Ulu, Benua bin Teradi bagi Kg Laid Lakang, Kalam bin OK Bugal bagi Kg Pengkalan Siong dan Nangkat bin Perasob bagi kawasan Tarap dan Melayan. Semua pemimpin ini berkhidmat secara sukarela sahaja manakala penghulu sendiri cuma menerima elaun bulanan dari pihak kerajaan.

Semasa di era perlantikan OKIP Sahari menjadi penghulu maka dua jawatan ketua kampung telah diujudkan. Kawasan mukim dibahagikan kepada dua bahagian: kawasan Kg Bukit Sawat yang di ketuai oleh Awang Lumpoh bin Selamat dan kawasan Kg Merangking yang dipimpin oleh Awang Bua bin Sambang.  Semua pemegang jawatan termasuk penghulu yang mulanya cuma diberikan elaun bulanan kemudian dinaik taraf menjadi penerima gaji bulanan oleh pihak kerajaan dalam tahun 1970an(?). Sementara itu turut diujudkan jawatan tuai-tuai rumah panjang bagi puak Iban yang bermastautin di Kg Apak-Apak, Baran dan Bang Tajok, masing-masing mereka pada asalnya dihulurkan elaun bulanan sahaja dan sekarang turut menerima gaji bulanan juga.

Jawatan Ketua Kampung Merangking yang menjadi kosong setelah Awg Bua dilantik menjadi Penghulu Mukim Bukit Sawat pada tahun 1992 telah diisi oleh Awg Haji Md Masut bin Abdullah @ Basi pada tahun 2007 setelah diadakan beberapa siri pencalunan oleh pihak kerajaan.

 
AWG HJ MD MASUT BIN ABDULLAH BASI
Ketua Kampong Merangking [2007 - 2013]


Sementara jawatan Ketua Kampong Bukit Sawat telah di pangku oleh Awang Haji Ismail bin Opak dari Kg Sungai Mau sejak Awang Lumpoh meninggal dunia kira-kira 10 tahun yang lalu. Ketika ini jawatan tersebut masih kosong dan beberapa usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi mengisi kekosongan tersebut setelah Awang Hj Ismail tamat berkhidmat sejak tahun 2010(?).

Awang Bua telah mula bersara sebagai penghulu mukim sejak 24 Mei 2005. Beberapa siri pencalunan telah dibuat dan pada tahun 2007 Awg Anuar Abdullah telah dilantik memegang jawatan tersebut buat masa kurang dari 2 bulan sahaja dan kemudian dikosongkan semula.



MIGRASI PENDUDUK MUKIM

Jumlah penduduk mukim kini menjadi berkurang akibat berpindah ke kawasan-kawasan bandar seperti STKRJ Mumong, STKRJ Lorong 3 Seria, Perumahan Panaga, Perumahan Kg Pandan Kuala Belait, STKRJ Telisai,  Perumahan Bukit Beruang, Tutong, Perumahan Katok, BSB serta membangun rumah sendiri di kawasan-kawasan Sungai Liang dan Lumut di Daerah Belait serta Kampong Mulaut di Daerah Brunei Muara.

Kesannya beberapa buah kampung seperti Pengkalan Siong, Laid Lakang, Ubok-Ubok, Sg Ubar dan Merugi Bungkok hampir kosong tanpa berpenduduk sekarang. Sementara Kg Baran telah kosong sepenuhnya setelah semua penduduk di sana berpindah ke kawasan mukim yang lain.

Hal yang serupa terjadi bagi kawasan Kg Pangkalan Siong, Bang Pukol dan Sungai Ubar apabila kebanyakan penduduknya berpindah ke kawasan Kg Sungai Mau atas sebab masalah perhubungan dan sebagainya.

Sebaliknya namun terdapat juga penghijrahan penduduk dari mukim-mukim lain ke mukim ini seperti dari Mukim Sukang dan sebagainya yang membina rumah dan tinggal di kawasan Kampong Sungai Mau. Seterusnya ada pula penduduk-penduduk asal mukim ini atau anak-anak mereka yang bermastautin secara tetap di kawasan bandar membuka ladang kebun buah-buahan atau padi dan tinggal secara sementara di pondok kebun masing-masing di sini.

Jumlah penduduk tetap mukim yang tinggal sekarang dianggarkan dalam sekitar 700 - 800 orang sahaja. 



© HAK CIPTA TERPELIHARA