Rabu, 18 April 2012

ASAL USUL NAMA MUKIM BUKIT SAWAT

Telah banyak andaian atau teori yang dikemukakan tentang asal usul nama "Bukit Sawat"  Dalam beberapa tulisan yang diterbitkan di internet (Wikipedia, the free encyclopaedia) disebutkan "bukit" itu bermakna "hill" atau "bukit" (betul)  dan "sawat" itu  "the name of a  fruit-plant atau nama sejenis pokok buah"(tidak tepat - mungkin penulis berkenaan terkeliru dengan perkataan "pokok durian salat" yang juga dikenali sebagai "durian belanda" itu.   Sementara pernah juga diutarakan oleh beberapa "penutur' berpengalaman dari mukim ini sendiri dan pernah diterbitkan di RTB beberapa tahun yang lalu bahawa asal usul nama "Bukit Sawat' ini ada kaitannya dengan "ular piak bulan" yang mati disumpit oleh "si Ingkis". Penulis kira yang dituturkan itu adalah cerita lagenda yang berkaitan dengan kawasan lagun yang dikenali sebagai  Lagon Pok Rigan  yang letaknya di sebelah bawah bukit tempat perkuburan orang-orang bukan Islam bersebelahan dengan kawasan Sekolah Rendah OKP Berandai.  Lagenda tersebut ada menyebut bahawa "ular piak bulan" raksasa yang disumpit oleh Si Ingkis setelah selepas 40 hari jatuh mati terhempap ke bumi dan terjadilah lagun kecil tersebut. 

Perkataan "bukit sawat" memang berasal dari perkataan "bukid sawat" dalam Bahasa Dusun yang bermaksud sebagai  "bukit tinggi" di dalam Bahasa Melayu. Ada terdapat kawasan tebing sungai yang  tinggi di tapak kawasan sekolah dan rumah guru Sekolah Melayu Bukit Sawat yang lama. Ketika melintas semasa berperahu atau bermotobot melalui  Sungai Belait setiap orang pasti kagum tentang ketinggian tebing sungai berkenaan. Hati mereka pasti berkata "Wah sawat o tambing bukid ino' yang bermaksud "Wah tingginya tebing bukit itu".

Memang betul itulah saja kawasan tebing sungai yang kelihatan sangat tinggi di sekitar kiri kanan Sungai Belait. Orang sejak beratus tahun dulu sudah tahu tentang hal tersebut dan merujuknya sebagai kawasan yang berbukit tinggi. Sudah lumrah apa yang dikenali sebagai "bukid sawat" menjadi   "BUKIT SAWAT" walaupun memang ada sebuah bukit yang bernama Bukit Usong yang mempunyai ketinggian hampir 200 kaki terdapat di Mukim ini tapi letaknya jauh di kawasan darat berhampiran dengan Kg Bukit Kandol.

 
© HAKCIPTA TERPELIHARA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan